Pages

Tuesday 15 August 2017

Fisioterapi: Senaman Menguatkan Lutut

Jaga Lutut Anda

Lutut adalah anggota yang penting untuk membantu anda bergerak bebas. Apabila lutut sudah mula sakit, maka terbataslah pergerakan kita. Malah ia juga mengganggu ibadah kita. Masalah sakit lutut ini adalah masalah biasa dihadapi oleh manusia apabila umur meningkat. Ada yang kurang bernasib baik dan mula menghidapinya seawal umur 30an, dan ada juga yang bernasib baik dan hanya menghadapinya selewat usia 60an atau 70an. 

Dalam artikel ini, dibentangkan jenis-jenis senaman yang boleh dipraktikkan bagi mencegah atau mengurangkan simptom sakit lutut ini. Jenis-jenis senaman yang dipaparkan di bawah ini merupakan senaman yang biasa dipraktikkan di mana-mana hospital untuk tujuan yang sama. Walau bagaimanapun, anda dinasihatkan untuk mendapat nasihat atau bimbingan lanjut dari pakar-pakar fisioterapi sekiranya anda ada menghadapi masalah sakit lutut. Cara-cara yang ditunjukkan di bawah hanyalah sebagai panduan sahaja, terutamanya untuk menguatkan otot-otot kaki yang ada hubung-kait dengan lutut.

Static Quads 


  • Letakkan gumpalan tuala pada bahagian bawah pelipat lutut.
  • Kemudian tekan lutut (menggerakkan) ke bawah seadanya secara perlahan-lahan. 
  • Tahan dalam posisi kaki yang tegang dan pejal selama 5-10 saat.
  • Ulang sebanyak 10 hingga 15 kali. Selepas itu lakukan untuk kaki yang sebelah lagi.


Senaman Static Squads

Straight Leg Raise (SLR)


Kalau senaman SLR ini dapat dilakukan sebaik mungkin, anda akan rasa kaki anda ringan serta kesakitan pada bahagian lutut akan berkurangan. Anda boleh melakukannya samada dalam posisi baring atau duduk. Cara-caranya ialah:

  • Tegangkan hujung pergelangan kaki (bahagian buku lali).
  • Kemudian luruskan kaki dan angkat ke atas kira kira satu jengkal sahaja (jangan terlebih angkat nanti kurang keberkesanannya).
  • Tahan dalam posisi kaki yang tegang dan pejal ini selama 5-10 saat, kemudian jatuhkan.
  • Ulang sebanyak 10 hingga 15 kali. Selepas itu lakukan untuk kaki yang sebelah lagi.


Senaman SLR Cara Baring

Side SLR


Lakukan dengan cara yang sama seperti SLR tadi tetapi dalam posisi yang mengiring. Untuk mendapat kesan yang optimum, kaki hendaklah sentiasa tegang dan pejal semasa diangkat iaitu penuh dengan kontraksi otot dan ditahan dalam posisi ini selama 5-10 saat. Kemudian jatuhkan kaki dan ulang sebanyak 10 kali. Selepas itu tukarkan posisi mengiring dan lakukan untuk kaki yang sebelah lagi.


Senaman Side SLR

Hip Prone SLR


Dalam posisi meniarap, angkat dan tegangkan sebelah kaki selama 5-10 saat dan ulang sebanyak 10 hingga 15 kali. Kemudian lakukan untuk kaki yang sebelah lagi.


Senaman Hip Prone SLR

Adductor Leg Raise (ALR)


Senaman ALR ini sangat penting untuk menguatkan seluruh struktur lutut. Posisinya sama dengan posisi senaman side SLR iaitu mengiring tetapi mengangkat kaki yang berlainan seperti yang ditunjukkan. Kaki bahagian atas dilipat dan kaki bahagian bawah diangkat dan ditegangkan selama 5-10 saat. Ulang sebanyak 10 hingga 15 kali. Kemudian ulang untuk kaki yang sebelah lagi. 

Senaman ALR ini elok dilakukan dengan lebih kerap daripada senaman side SLR untuk menguatkan otot lutut kepada sesiapa yang mampu melakukannya.

Senaman ALR

VMO Strengthening


Senaman ini bertujuan untuk menguatkan otot VMO yang penting bagi membetulkan posisi tempurung lutut sekiranya tempurung lutut sudah lari (out of alignment) dari posisi asal.

Ada banyak cara senaman untuk menguatkan otot VMO ini. Salah satu caranya ialah seperti yang ditunjukkan dalam gambar, iaitu dengan meletakkan bantal atau bola di antara dua paha, kemudian tolak (gerakkan) kedua-dua lutut ke arah dalam secara perlahan-lahan dan tahan selama 10-15 saat. Boleh ulang sebanyak 15 hingga 20 kali.
Senaman Menguatkan Otot VMO

Dalam proses melakukan senaman-senaman di atas, mungkin anda akan merasakan sengal-sengal pada bahagian otot paha. Ini adalah perkara biasa, terutamanya pada peringkat permulaan. Harap perkara ini tidak akan mematahkan semangat anda. Bak kata pepatah inggeris - No Pain No Gain.  Jangan mengharapkan keajaiban akan berlaku dalam sehari dua. Biasanya pakar-pakar fisio akan menyuruh anda melakukan senaman-senaman seperti ini dalam tempoh 3 ke 6 minggu untuk dapat melihat kesannya atau perubahan pada kaki anda seperti kaki rasa ringan dan semakin kurang ketat, dan lutut rasa kurang sakit. Yang pentingnya anda kena konsisten untuk melakukannya tiap-tiap hari.

Adalah dinasihatkan juga meletakkan tuala panas pada lutut kira-kira 10 min tiap-tiap kali sebelum melakukan senaman-senaman di atas sebagai warm-up, dan meletakkan tuala sejuk pada lutut selepas senaman selesai bagi mengurangkan simptom bengkak atau sakit yang mungkin boleh terjadi selepas senaman. Insha Allah jika dilakukan secara konsisten kaki anda akan mula terbiasa dengan senaman-senaman ini dan akan jadi kuat kerana senaman-senaman ini membantu menguatkan struktur otot-otot yang menyokong tulang lutut anda.

Kita hanya berusaha tetapi Allah yang menentukan segala-galanya. Selamat mencuba!


Monday 14 August 2017

Fisioterapi: Senaman Pernafasan Dalam (Deep Breathing Exercise)

Pernafasan Dalam (Deep Breathing)

Saya nak kongsikan cara atau teknik senaman pernafasan dalam (deep breathing exercise) yang amat berguna untuk menambahkan kadar oksigen ke dalam paru-paru dan seterusnya ke otak. Kenapa senaman ini penting untuk kesihatan? Setiap tisu di dalam tubuh badan kita akan berfungsi dengan optimum dan otak kita akan lebih cerdas apabila dibekalkan dengan oksigen yang secukupnya.

Antara kebaikan-kebaikan senaman pernafasan dalam ini ialah:
  • Melancarkan peredaran darah ke seluruh badan
  • Menguatkan imuniti secara semulajadi
  • Membantu mempercepatkan peroses pemulihan pernafasan
  • Menguatkan paru-paru dan mengelakkan otot-otot paru-paru menjadi lemah
  • Menyegarkan otak dan tubuh badan
  • Melambatkan proses penuaan kerana tisu-tisu mendapat bekalan oksigen secukupnya


Bilakah waktu yang sesuai untuk melakukan senaman pernafasan dalam?


Senaman pernafasan dalam boleh dilakukan pada bila bila masa sahaja. Masa yang amat digalakkan adalah seperti berikut:
  • awal waktu pagi selepas bangun dari tidur - bagi menyegarkan badan dan otak anda setelah semalaman berehat
  • bila kepenatan - bagi menggantikan oksigen yang hilang dengan cepat
  • ketika perut kosong - untuk memaksimumkan udara masuk ke ruang perut anda

Senaman ini amat praktikal untuk dilakukan oleh mereka yang mempunyai sejarah Asthma, pneumonia, batuk kering dan masalah jangkitan paru paru.

Cara-cara Melakukan Senaman Pernafasan Dalam


  • Cari tempat yang sesuai yang mudah mendapat udara yang segar. Elakkan bilik kecil yang tidak mempunyai pengaliran udara yang mencukupi.
  • Dapatkan posisi yang selesa sama ada baring, duduk, berdiri atau bersandar.
  • Letakkan satu tangan di atas perut dan satu lagi di atas dada.
  • Tarik nafas melalui hidung sedalam yang boleh dengan kadar yang perlahan tanpa tergopoh-gapah.
  • Pastikan perut terangkat ke atas (kalau baring) atau ke depan (kalau duduk atau berdiri) disebabkan reaksi dari udara yang memenuhi bahagian bawah paru paru dan menolak diapghram ke atas.
  • Tahan nafas dalam masa 3-5 saat bagi memastikan penyerapan oksigen yang optimum.
  • Kemudian lepaskan udara melalui mulut secara perlahan-lahan dan releks. Pastikan dada dan perut mengempis secara semulajadi.
  • Lakukan berulang kali sebanyak 5 atau 10 kali bagi mendapatkan manfaat yang sepenuhnya daripada senaman ini.

Apakah efek dari senaman ini?


Anda akan rasa sangat releks dan tenang selepas melakukan senaman ini yang boleh membantu menghilangkan stres atau kekusutan di fikiran. Lebih berkesan lagi jika senaman ini diiringi dengan bacaan zikir dan salawat di dalam hati, anda seolah-olah mendapat suntikan antibiotik yang alami, kerana waktu itu otak anda akan merembeskan hormon endorphin yang secara alaminya membantu menghilangkan stres dan juga menguatkan tubuh badan.

Selamat mencuba!


Friday 11 August 2017

Proses Penuaan Bermula Seawal 30an

Proses Penuaan

Apakah benar proses penuaan sudah bermula seawal pada usia awal 30an? 

Perkara ini disahkan oleh Dr. dr. Bhenny Karim, Fakulti Kedokteran (FK), Universiti Gajah Mada (UGM), yang mengatakan bahawa proses penuaan boleh bermula pada usia 32 tahun. Pada usia tersebut, fungsi organ-organ penting tubuh seperti ginjal, hati, hypophyse, dan sebagainya sudah mula menurun. Malah keupayaan badan mengeluarkan hormon-hormon penting seperti testosteron dan progesteron (lelaki), estrogen (wanita), hormon pertumbuhan, CoQ10, Melatonin dan Antioksidan sudah mula menurun pada usia tersebut.

Mungkin ramai yang tidak setuju (atau sekurang-kurangnya tidak puas hati) dengan kenyataan ini. Mengapa begitu awal? Mungkinkah ianya berlaku hanya pada sebahagian kecil organ badan sahaja?

Menurut DailyMail.co.uk melalui artikel "When Your Body Starts Going Downhill?", proses penuaan berlaku berperingkat-peringkat pada bahagian anggota badan yang berlainan. Menurut laporan tersebut, berikut adalah anggaran kasar (maksudnya tidak mengikut jantina dan geografi individu) bila proses penuaan akan berlaku pada anggota-anggota badan yang tertentu: 

Otak - 20 tahun
Usus/ perut - 55 tahun
Payudara - 35 tahun
Pundi kencing - 65 tahun
Paru-paru - 20 tahun
Suara - 65 tahun
Mata - 40 tahun
Jantung - 40 tahun
Hati - 70 tahun
Buah pinggang - 50 tahun
Prostat - 50 tahun
Tulang - 35 tahun
Gigi - 40 tahun
Otot-otot - 30 tahun
Pendengaran - 55 tahun
Kulit - 25 tahun
Deria bau/rasa - 60 tahun
Kesuburan - 35 tahun
Rambut - 30 tahun

Daripada fakta di atas, mungkin ada benarnya pada apa yang disampaikan oleh Dr. Bhenny. Antara anggota-anggota atau organ-organ badan yang sudah melalui proses penuaan sebelum atau pada usia 35 tahun ialah otak, payudara, paru-paru, tulang, otot-otot, kulit dan rambut. Ini mungkin ada kaitannya dengan penurunan pada fungsi organ-organ dalaman dan hormon-hormon seperti yang dinyatakan oleh dr. Bhenny di atas.

Pesan Dr. Bhenny lagi, sepatutnya pada usia 45 tahun kita tidak lagi memburu makanan-makanan yang enak yang biasanya berlemak, berminyak dan kurang khasiat selain daripada tinggi karbohidrat dan kolesterol. Makanan-makanan seperti ini tidak lain selain daripada mengundang pelbagai penyakit. 

Menurut Dr. Bhenny lagi, penuaan adalah suatu penyakit yang tidak dapat dicegah, diubati atau diundurkan. Pendekata, ia adalah sifat semulajadi badan manusia. Cuma apa yang kita boleh lakukan ialah dengan mengubah cara hidup (termasuk pemakanan) bagi mengelak atau mencegah penyakit-penyakit kronik yang timbul akibat proses penuaan.

Dr. Bhenny menyenaraikan beberapa penyakit yang boleh muncul akibat proses penuaan, antaranya ialah:
  1. Osteoporosis
  2. Sindrom Metabolik yang dikaitkan dengan penyakit jantung seperti strok, penyakit jantung koronari dan Hypertensi Renal
  3. Kanser pada payudara, usus, Prostat atau Ovarium.
  4. Alzeimer (pikun), dan,
  5. SD (Sexual Dysfunction).

Apa yang boleh boleh kita lakukan? Berikut adalah nasihat Dr. Bhenny:

1. BERGERAK
    Berjalan 5km Sehari
  • Berjalan kaki 3 hingga 5 km sehari boleh mencegah Osteoporosis atau rapuh tulang dan Hypertensi.

2. SENAM OLAH NAFAS
Pernafasan Dalam

  • Senaman seperti Pranayama, Orhiba, Cikung, Yoga, dan seumpamanya sebanyak 2 kali seminggu boleh membantu paru-paru melalui proses pernafasan dalam (deep breathing) bagi meningkatkan aliran darah di alveoli dan membekalkan oksigen yang secukupnya kepada otak. 
  • Ada banyak lagi teknik pernafasan dalam yang boleh dilakukan dan ianya boleh dilakukan seawal pagi sebaik sahaja bangun dari tidur.

3. KURANGKAN KARBOHIDRAT
Kurangkan Makanan Berkarbohidrat
  • Cukup dengan protein, buah dan sayur. 

4. JAGA BERAT BADAN
Kawal Berat Badan dan BMI
  • Lingkaran perut tak boleh lebih dari 80 cm untuk wanita dan 90 cm untuk lelaki. 
  • BMI tak boleh lebih dari 30 kg/m2.

5. TEKANAN DARAH SENTIASA NORMAL
  • Tekanan darah hendaklah tidak melebihi 140/90. 
  • Kena cek tekanan darah tiap-tiap minggu.

6. KADAR GULA DARAH PUASA SENTIASA NORMAL
Ujian Darah Setiap 6 Bulan
  • Paras gula darah hendaklah tidak melebihi 6 mmol/L jika berpuasa, atau tidak melebihi 8 mmol/L jika lepas makan. 
  • Kadar Trigliserida kena sentiasa di bawah 1.7 mmol/L dan kadar HDL harus sentiasa di atas 1 mmol/L. 
  • Kena cek darah tiap-tiap 6 bulan.

7. TREADMILL SETIAP HARI
Senaman Ringan Di Rumah
  • Luangkan masa untuk lakukan senaman ringan setiap hari seperti berjalan di atas treadmill.

8. MAMMOGRAFI dan PAP SMEAR (untuk wanita)

    Pemeriksaan Kanser Setiap Tahun
  • Wanita dinasihatkan melakukan ujian mengesan kanser serviks dan kanser payudara setiap tahun.

9. CUKUP REHAT
Pastikan Tidur Mencukupi
  • Pastikan tidur sekurang-kurangnya 6 jam sehari bermula pukul 10 malam. 
  • Pastikan juga lampu ditutup ketika tidur untuk merangsang pengeluaran hormon pertumbuhan.
  • Elakkan makan 3 jam sebelum tidur bagi mencegah GERT atau sesak nafas.
  • Gunakan bantal pendek bagi meningkatkan perjalanan oksigen ke otak.
  • Tidur miring ke kanan bagi mengurangi beban ke atas jantung.

10. KURANGKAN STRES
Marah Boleh Menyebabkan Stres
  • Elakkan kerja yang membebankan atau yang di luar kemampuan.
  • Elakkan suka marah-marah atau emosi yang sedih.

11. PERBANYAKKAN YANG BERIKUT:
Banyak Berdoa
  • Perbanyakkan doa dan zikir
  • Perbaiki kualitI ibadah
  • Hiburan yang tidak melalaikan
  • Santai dengan keluarga atau kawan-kawan lama
  • Membaca terutama buku-buku ilmiah dan agama


Anti-penuaan


Anti-penuaan biasanya merujuk kepada produk-produk yang digunakan untuk melambatkan proses penuaan. Salah satu daripada produk tersebut ialah vitamin. Malah pengambilan vitamin adalah cara yang terbaik melawan penuaan kerana ia bertindak dari dalam badan. 

Komponen terpenting dalam vitamin untuk melambatkan penuaan adalah antioksidan bagi mencegah kerosakan sel di dalam tubuh dan kulit yang disebabkan oleh radikal bebas. Radikal bebas inilah yang mempercepatkan proses penuaan pada kulit. Vitamin-vitamin yang boleh membantu melambatkan proses penuaan ialah vitamin A, B, C, E dan K. Dan sudah tentu vitamin yang terbaik adalah daripada sumber buah-buahan dan sayur-sayuran segar.

Vitamin C


Vitamin C adalah sumber sumber antioksidan yang terbaik. Bukan hanya menghasilkan antioksidan, vitamin C juga dapat membantu “mengaktifkan” antioksidan lain di dalam tubuh anda seperti dari vitamin E.

Vitamin C membantu meremajakan kulit agar tidak berkedut keterlaluan dengan meningkatkan produksi kolagen, yang bertanggungjawab membentuk dan menguatkan kulit. Kolagen juga penting dalam penyembuhan luka.

Buah Baobab
Anda boleh mendapatkan vitamin C dari buah-buahan dan sayur-sayuran seperti baobab, oren, cili merah, kobis, brokoli, strawberi, limau, jambu batu, kiwi, cili hijau dan sebagainya. Kandungan vitamin C dalam baobab adalah yang tertinggi, 6 kali ganda mengatasi oren.

Dengan bekalan vitamin C yang mencukupi secara berterusan setiap hari, badan kita akan dilindungi daripada efek radikal bebas dan sistem imun akan sentiasa kuat untuk melawan sebarang jangkitan.

Wednesday 20 January 2016

Memahami Stroke


Pengenalan



Tidak ada yang lebih penting pada tubuh badan kita selain daripada otak. Ia umpama CPU kepada sesebuah komputer. Apabila CPU ada masalah, maka komputer tidak boleh berfungsi dengan sempurna atau rosak sama sekali. Begitu juga dengan badan kita - apabila ada masalah pada otak, fungsi badan akan terganggu.

Fungsi otak akan terganggu atau lumpuh sama sekali oleh serangan stroke. Stroke sangat berbahaya kerana ia boleh menjadikan seseorang itu lumpuh seumur hidup. Penyakit-penyakit lain hanya melibatkan sebahagian daripada anggota badan tanpa melibatkan bahagian otak tetapi stroke boleh melumpuhkan seluruh anggota badan termasuk otak itu sendiri.


Apakah itu Stroke?



Stroke adalah serangan pada otak yang terjadi apabila pengaliran darah ke otak terhenti. Sel-sel otak yang terbabit akan mati disebabkan oleh kekurangan oksigen. Pengaliran darah ke otak boleh terhenti disebabkan oleh samada saluran darah tersumbat atau pecah.

Terdapat dua kategori stroke: Stroke ringan atau iskemik (ischemic) dan Stroke parah atau hemorragik (hemorrhagic). Stroke iskemik disebabkan oleh saluran darah ke otak tersumbat manakala stroke hemorragik disebabkan oleh pendarahan dalam otak berikutan saluran darah yang pecah atau putus.
Jenis-jenis Strok

Stroke iskemik adalah yang paling biasa terjadi, merangkumi 80% daripada jumlah kejadian stroke. Ada tiga keadaan yang menyebabkan stroke iskemik: pembekuan darah dalam saluran darah samada dalam otak atau di leher yang dikenali sebagai thrombosis; pemindahan darah yang beku di bahagian lain anggota badan (seperti di jantung) ke otak, dikenali sebagai embolisma; atau pengecilan pada saluran darah dalam otak atau yang menuju ke otak, dipanggil stenosis.

Ada dua langkah untuk mengurangkan risiko penyakit stroke: mengawal faktor-faktor penyebab stroke dan mengetahui tanda-tanda serangan stroke.


Apakah Tanda-Tanda (Simptom) Stroke?



Mengetahui tanda-tanda stroke boleh menyelamatkan nyawa orang di sekeliling anda yang terkena serangan stroke. Terdapat beberapa tanda atau tindakbalas badan apabila otak tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi. Berikut adalah antara tanda-tanda serangan stroke yang paling biasa terjadi:

  • kebas tiba-tiba pada muka, tangan atau kaki, terutama pada sebelah bahagian badan sahaja;
  • berada dalam keadaan keliru secara tiba-tiba, atau ada masalah dalam percakapan atau memahami percakapan;
  • pandangan jadi kabur pada sebelah atau kedua-dua mata;
  • merasa letih tiba-tiba, susah untuk berjalan atau hilang keseimbangan; atau
  • pening kuat secara tiba-tiba tanpa sebab yang diketahui

Tanda-tanda lain termasuk mata berpinar, mengantuk, mual dan muntah. Kadang-kadang tanda-tanda ini hanya berlaku dalam masa yang sekejap sahaja dan kemudian hilang. Episod yang pendek ini, dikenali sebagai TIA (Transient Ischemic Attack), juga dipanggil stroke kecil. Walaupun singkat, ia menunjukkan keadaan yang serius yang perlu dipandang berat dan diberi rawatan. Malangnya, ramai yang tidak mengambil endah tentang tanda-tanda yang singkat ini. Mengambil langkah berjaga-jaga selepas terkena serangan stroke kecil ini boleh menyelamatkan nyawa anda.


Apakah Faktor-faktor Risiko untuk Stroke?



Ada beberapa faktor risiko untuk mendapat serangan stroke yang tidak boleh diubah atau diubati. Ini tidak bermakna orang-orang yang mempunyai faktor risiko ini akan mendapat serangan stroke dan sebaliknya. Walau bagaimanapun, risiko anda untuk mendapat serangan stroke adalah lebih tinggi apabila faktor risiko anda bertambah dan meningkat.

  • Umur. Stroke boleh berlaku pada semua peringkat usia, termasuk kanak-kanak dan kaum remaja. Tapi kajian menunjukkan risiko serangan stroke akan meningkat dua kali ganda bagi mereka yang berumur antara 55 hingga 85 tahun. 
  • Jantina. Lelaki mempunyai risiko mendapat serangan stroke lebih tinggi berbanding dengan kaum perempuan, tetapi kaum perempuan yang lebih ramai mati akibat serangan stroke. Lelaki biasanya tidak hidup lama seperti kaum perempuan, jadi kaum lelaki mendapat serangan stroke pada usia yang lebih muda dan mempunyai peluang untuk selamat lebih tinggi.
  • Bangsa. Sesetengah kumpulan etnik mempunyai risiko mendapat serangan stroke lebih tinggi daripada kumpulan etnik yang lain. Di Amerika, contohnya, bangsa kulit hitam Afrika adalah kumpulan yang paling ramai terkena serangan stroke yang akhirnya membawa kepada kematian berbanding dengan bangsa-bangsa lain. Jenis-jenis serangan stroke juga berbeza daripada satu bangsa ke bangsa yang lain.
  • Sejarah stroke dalam keluarga. Ada beberapa faktor yang menerangkan kenapa serangan stroke boleh berulang dalam keluarga. Pertamanya, wujudnya penyakit tekanan darah tinggi dan kencing manis secara genetik dalam keluarga tersebut sejak turun-temurun yang boleh membawa kepada serangan stroke. Keduanya, mungkin disebakan oleh gaya hidup dalam sesebuah keluarga seperti penyediaan makanan berminyak dan tinggi kolesterol yang diwarisi sejak dari dulu lagi.


Apakah Faktor-faktor Risiko Stroke yang Boleh Dirawat?


Berikut adalah faktor-faktor risiko stroke yang boleh dikawal atau dirawat:

Tekanan Darah Tinggi, atau Hipertensi

Tekanan darah tinggi, atau hipertensi, merupakan penyebab utama stroke, terutama kepada mereka yang berumur di bawah 80 tahun. Sekiranya anda mempunyai tekanan darah tinggi, anda dan doktor anda harus mengatur strategi untuk menurunkan tekanan darah anda ke paras normal. Beberapa langkah yang anda boleh ambil seperti menjaga berat badan di paras yang normal; mengelak ubat-ubatan atau herba yang boleh menaikkan tekanan darah; mengurangkan pengambilan garam dan membanyakkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran; dan lebihkan senaman. Doktor anda juga mungkin menyarankan beberapa ubat yang boleh menurunkan tekanan darah. Di samping mengelak berlakunya stroke, mengawal tekanan darah ke paras yang normal juga akan mengelak penyakit-penyakit lain seperti sakit jantung, diabetes dan sakit buah pinggang.

Merokok


Atherosclerosis - arteri tersumbat
Merokok boleh meningkatkan risiko stroke iskemik dua kali ganda dan stroke hemorragik sehingga empat kali ganda. Merokok boleh menyebabkan mendapan lemak (simptom yang dipanggil atherosclerosis) dalam arteri karotid, iaitu arteri utama yang menyalurkan darah ke otak. Bila arteri ini tersumbat, maka terjadilah strok iskemik. Juga, nikotin dalam rokok akan menaikkan tekanan darah; karbon monoksida akan mengurangkan kandungan oksigen dalam darah; dan asap rokok itu sendiri akan menyebabkan darah menjadi semakin pekat dan membentuk tompokan. Doktor anda mungkin boleh menyarankan beberapa program atau ubat-ubatan untuk anda berhenti merokok. Dengan berhenti merokok, anda bukan saja dapat mengurangkan risiko serangan stroke, anda juga boleh terhindar dari kanser paru-paru, sakit jantung dan beberapa jenis kanser yang lain.

Sakit Jantung


Sakit jantung seperti arteri koronari, injap jantung rosak, denyutan jantung yang tak menentu (atrial fibrillation), dan jantung yang membengkak boleh menyebabkan berlakunya tompokan-tompokan kecil darah beku yang akhirnya terlepas keluar mengikut saluran darah ke otak. Mereka yang berumur lanjut terdedah kepada fenomena ini. Mengikut kajian, satu perempat kejadian stroke selepas umur 80 tahun adalah disebabkan oleh fenomena di atas. Hipertensi dikatakan adalah penyebab utama jantung membengkak atau injap jantung rosak. Biasanya kepada pesakit-pesakit seperti ini, doktor akan mencadangkan aspirin untuk mengurangkan risiko kejadian tompokan-tompokan darah beku tadi. Sekiranya tompokan telah berlaku dan berada dalam arteri yang menuju ke otak, doktor akan melakukan pembedahan untuk membuang tompokan-tompokan tersebut sebelum ia menyumbat pengaliran darah ke otak.

Tanda-tanda Awal Stroke atau TIA (Transient Ischemic Attack)


Jika anda pernah mengalami TIA, walaupun dalam masa beberapa minit sahaja, risiko anda untuk mendapat serangan stroke adalah lebih tinggi daripada mereka yang belum pernah mengalaminya. Dan sekiranya anda pernah mendapat serangan stroke sebelum ini dan pulih, anda harus melipatgandakan usaha-usaha pencegahan sebagaimana yang disarankan di atas seperti menjaga tekanan darah anda dengan lebih rapi supaya sentiasa berada pada paras normal. Ini adalah kerana, mengikut kajian, jika sebahagian daripada otak anda telah diserang stroke, maka sebahagian otak lagi akan bekerja dua kali ganda lebih kuat. Jadi serangan stroke untuk kali kedua akan dua kali ganda lebih teruk daripada serangan pertama.

Diabetes (Kencing Manis)


Kencing manis, atau diabetes, adalah penyumbang kepada serangan stroke dan penyakit jantung. Sesetengah orang berpendapat bahawa diabetes hanya sekadar masalah badan tidak boleh menerima gula atau glukos dalam kadar yang biasa. Sebenarnya diabetes boleh menyebabkan kerosakan pada saluran darah di seluruh badan termasuk dalam otak. Dan sekiranya paras gula dalam darah tinggi semasa serangan stroke, kerosakan pada otak akan lebih teruk dan meluas. Pesakit diabetes juga biasanya akan mengalami tekanan darah tinggi yang boleh menaikkan risiko serangan stroke. Jadi merawat diabetes akan melambatkan dan mengurangkan risiko terkena serangan stroke.

Ketidak-seimbangan Kolesterol


Kolesterol LDL (Low-density lipoprotein) adalah kolesterol yang tidak baik yang menaikkan paras kolesterol (bahan berlemak) dalam darah dan boleh sampai kepada otak. Kenaikan paras kolesterol boleh menyebabkan berlakunya atherosclerosis iaitu penyumbatan pada arteri yang membawa darah ke otak. Fenomena atherosclerosis ini adalah penyebab utama serangan stroke dan serangan sakit jantung.

Kurang Senaman dan Masalah Kegemukan


Masalah kegemukan dan kurangnya senaman selalunya dikaitkan dengan hipertensi, diabetes dan penyakit jantung. Kegemukan (obesiti) dikatakan boleh meningkatkan risiko serangan stroke sehingga tiga kali ganda.


Ketahui Risiko Stroke Anda



Sebahagian besar risiko-risiko serangan stroke boleh diketahu melalui ujian fizikal di hospital-hospital pakar. Di negara-negara maju seperti di Amerika, mereka mempunyai program tertentu bagi 'mengukur' tahap risiko stroke dan seterusnya merangka strategi atau pelan bagi mengurangkan risiko-risiko tersebut.


Kebanyakan risiko-risiko stroke boleh dikawal walaupun tidak 100%. Dengan bermula lebih awal dan mengawal atau merawat faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada serangan stroke, anda akan mengurangkan risiko anda daripada kematian atau lumpuh seumur hidup akibat serangan stroke. Di Amerika contohnya, apabila semakin ramai yang sedar tentang risiko-risiko yang membawa kepada serangan stroke, ramai yang telah mengubah cara hidup dan hasilnya insiden kematian akibat serangan stroke telah berkurangan sehingga hampir separuh.

Selamatkan diri anda dan keluarga anda daripada serangan stroke!


Tuesday 22 December 2015

Perkasakan Sistem Imun Anda

Imun Kuat Anda Sihat!
Rahsia hidup sihat yang berpanjangan.


Ungkapan "anda adalah apa yang anda makan" memang ada kebenarannya, tetapi kesihatan anda juga bergantung kepada apa yang anda lakukan. Sebab itu pemilihan cara hidup yang sihat boleh mempengaruhi keupayaan anda untuk mengelak dari pelbagai penyakit. Jadi, langkah-langkah berikut, antara lain, boleh menguatkan sistem imun badan anda:


  • Melakukan senaman secara konsisten
  • Menghadkan pengambilan kopi dan gula
  • Mengambil banyak buah-buahan dan sayur-sayuran
  • Minum banyak air kosong yang bersih
  • Makan mengikut waktu yang teratur - sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam


Pentingnya Vitamin



Walaupun anda tidak pernah atau kurang mengambil makanan segera atau makanan yang diproses, dan anda makan mengikut waktu yang teratur, badan anda masih memerlukan sedikit sebanyak bantuan nutrien untuk memperkasakan sistem imun badan anda, kerana banyak makanan-makanan mentah di pasaran sudah kekurangan vitamin dan mineral (disebabkan oleh pelbagai faktor seperti cara penanaman dan pembajaan yang tidak betul, terlalu lama dalam simpanan, dsb). Oleh itu pengambilan multivitamin akan membantu anda memperolehi nutrien yang mencukupi. Tambahan lagi, sekiranya badan anda kekurangan nutrien-nutrien tertentu (seperti Vitamin C, Zinc dan Vitamin D), badan anda akan terdedah kepada pelbagai jangkitan atau serangan penyakit. Oleh itu pengambilan multivitamin boleh membantu.


Rehat yang mencukupi



Stres atau tekanan perasaan boleh mengganggu sistem imun badan anda yang akhirnya akan menyebabkan badan anda tidak mampu melawan serangan bakteria atau kuman. Stres boleh terjadi disebabkan oleh kesibukan menguruskan kerja-kerja pejabat atau kerja-kerja rumah sehingga tidak mendapat rehat yang mencukupi. Jadi amat penting untuk mendapatkan rehat yang secukupnya bagi mengurangkan stres. Terdapat pelbagai cara yang anda boleh lakukan untuk merehatkan badan, antaranya:


  • senaman yoga
  • meditasi
  • berendam dalam air suam dengan minyak yang boleh menenangkan fikiran seperti lavender
  • berjalan-jalan atau bersiar-siar di taman atau di pantai
  • membaca buku-buku yang bersesuaian dengan minat anda


Apa-apapun yang anda lakukan - atau tidak melakukan apa-apa - hendaklah sesuatu yang boleh menjauhkan anda atau fikiran anda dari kerja-kerja pejabat atau kerja-kerja rumah yang meletihkan tadi.

Tidur yang mencukupi


Tidur yang mencukupi
memantapkan sistem imun
Ada pendapat yang mengatakan bahawa tidur yang mencukupi adalah tidur selama 8 jam yang berterusan. Sesetengah yang lain pula berpendapat tidur berterusan selama 6 jam sudah mencukupi. Jadi di sini kita dapat rumuskan bahawa tidur yang mencukupi ialah tidur yang berterusan di antara 6 jam hingga 8 jam sehari pada waktu malam.

Tidur yang tidak mencukupi juga boleh mengganggu sistem imun. Ia berhubung kait dengan rehat tadi. Apabila anda tidur kurang dari 6 jam, bermakna badan anda belum mendapat rehat yang mencukupi. Sekiranya anda tidak mampu untuk tidur beterusan sekurang-kurangnya 6 jam pada waktu malam disebabkan kesuntukan masa, ada pendapat mengatakan tidur sekejap pada waktu tengahari, selama lebih-kurang 30 minit, boleh membantu mengurangkan tekanan pada sistem imun.

Bagi yang ada masalah untuk tidur berterusan selama 6-8 jam, anda mungkin menghidapi penyakit insomnia. Pengambilan vitamin C dan Zat Besi mungkin boleh membantu.


Suburkan bakteria baik


Anda mungkin tertanya-tanya, apakah betul ada bakteria baik?

Probiotik adalah bakteria baik
untuk memelihara sistem imun
Dalam badan manusia terdapat tidak kurang dari 100,000 juta bakteria yang menghuni sistem penghadaman. Antaranya ada yang baik (probiotik) dan ada yang jahat (patogenik). Nisbah bakteria probiotik kepada bakteria patogenik akan menentukan kedudukan sistem imun badan. Sekiranya jumlah bakteria probiotik mengatasi jumlah bakteria patogenik, maka ini akan menguatkan sistem imun, dan sebaliknya. Bakteria probiotik juga bertindak mewujudkan  suasana yang tidak sesuai untuk bakteria patogenik hidup, jadi amat penting untuk menyuburkan bakteria probiotik ini.

Sumber makanan yang bagus untuk mendapatkan probiotik adalah makanan-makanan yang diperam seperti yogurt, timun peram dan tempe. 

Probiotik adalah bakteria hidup. Setiap yang hidup memerlukan makanan untuk bergiat aktif dan membiak. Langkah pertama ialah mendapatkan bekalan probiotik dari sumber makanan seperti yang dinyatakan di atas. Jadi langkah kedua ialah menyuburkannya dengan prebiotik. Prebiotik adalah makanan atau baja kepada probiotik. Prebiotik juga diperolehi dari sumber-sumber makanan seperti bawang putih dan bawang merah, buah pisang, asparagus dan sebagainya. Tetapi sumber makanan yang paling kaya dengan prebiotik ialah Gam Arab. Gam Arab banyak terdapat di Sudan dan di negara-negara lain di Afrika. Ia berasal dari getah pokok Akasia yang mengeras dan kemudiannya dihancurkan menjadi serbuk untuk dicampurkan ke dalam minuman atau makanan.

Lihat seterusnya tentang Fungsi Gam Arab.



Wednesday 16 December 2015

Kreatinin

APA ITU KREATININ?



Kreatinin Dalam Darah
Menurut Wikipedia.com, kreatinin adalah pecahan produk fosfat kreatin dalam otot, dan biasanya ia dihasilkan pada kadar yang konsisten setiap hari dalam badan.

Dalam pengertian yang lain pula, kreatinin merupakan satu bahan buangan molekul kimia yang dihasilkan melalui proses metabolisma dalam otot. Dianggarkan lebih kurang 2% daripada keratin badan ditukarkan kepada kreatinin setiap hari. Kreatinin kemudian diangkut melalui saluran darah ke buah pinggang atau ginjal. Buah pinggang akan menapis kreatinin ini dan mengeluarkannya melalui air kencing.


Kenapa pentingnya memeriksa paras kreatinin dalam darah?



Buah pinggang yang sihat akan mengekalkan atau menyebabkan jumlah kreatinin dalam darah pada paras yang normal. Oleh sebab itu, kreatinin merupakan petunjuk yang boleh dipercayai untuk fungsi buah pinggang. Ini bermakna, kenaikan paras kreatinin dalam darah menunjukkan buah pinggang sudah tidak lagi berfungsi dengan sempurna atau wujudnya penyakit buah pinggang (kidney disease).


Apabila buah pinggang sudah tidak lagi berfungsi dengan sempurna, ia tidak lagi mampu memproses dan mengeluarkan kreatinin pada kadar yang biasa, akhirnya paras kreatinin dalam darah akan naik. Paras kreatinin yang tinggi adalah petunjuk awal kerosakan buah pinggang. Oleh itu, adalah penting untuk memeriksa paras kreatinin sekali pada setiap kali melakukan ujian darah.



Pemeriksaan paras kreatinin dan BUN
melalui ujian darah
Paras kreatinin yang normal dalam darah adalah antara 0.6 hingga 1.2 miligram (mg) per deciliter (dL) untuk lelaki dewasa dan 0.5 hingga 1.1 mg/dL untuk wanita. Lelaki yang mempunyai otot yang banyak atau lelaki pertengahan umur mungkin mempunyai paras kreatinin yang lebih tinggi daripada yang dinyatakan di atas. Manakala orang-orang tua pula mungkin mempunyai paras kreatinin yang lebih rendah. Begitu juga bagi mereka yang kurang mendapat nutrisi atau zat makanan, atau mereka yang mengalami penurunan berat badan yang mendadak, atau yang menghidapi penyakit yang agak lama, akan terjadi penurunan paras kreatinin daripada paras normal tadi.


Perlu diingat di sini bahawa kreatinin hanya merupakan satu daripada petunjuk untuk fungsi buah pinggang. Ada lagi petunjuk-petunjuk atau ujian-ujian lain yang akan digunakan oleh doktor untuk menentukan tahap kesempurnaan buah pinggang. Salah satu daripadanya ialah paras nitrogen urea darah (Blood Urea Nitrogen atau singkatnya BUN). BUN adalah hasil sampingan proses metabolisma. Paras BUN dalam darah akan meningkat apabila buah pinggang tidak berfungsi dengan sempurna. Nisbah BUN kepada kreatinin biasanya akan memberi gambaran yang lebih tepat mengenai keadaan buah pinggang seseorang. Paras BUN boleh meningkat disebabkan oleh kekurangan air dalam badan.


Bagaimana paras kreatinin boleh meningkat?



Pada dasarnya, sebarang keadaan yang mengganggu atau merosakkan fungsi buah pinggang akan menyebabkan kenaikan paras kreatinin dalam darah. Adalah penting untuk mengenalpasti punca atau punca-punca kerosakan buah pinggang apabila terjadinya kenaikan paras kreatinin, samada punca-punca tersebut baru timbul atau telah lama wujud. Ini akan memudahkan para-para doktor merawat punca-punca tersebut supaya fungsi buah pinggang boleh dipulihkan semula.

Tekanan darah tinggi boleh
meningkatkan kreatinin dalam darah
Pada kebiasaannya, penyebab utama kerosakan buah pinggang bagi orang dewasa ialah penyakit darah tinggi dan kencing manis. Oleh itu, kenaikan paras kreatinin selalu dikaitkan dengan kenaikan tekanan darah dan paras gula dalam darah.

Dalam kes-kes yang terpencil, sesetengah ubat boleh merangsang kenaikan paras kreatinin. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa pengambilan daging yang berlebihan boleh menaikkan paras kreatinin dalam darah. Oleh itu amat penting untuk menjalani ujian kreatinin berterusan untuk memastikan punca sebenar kenaikan tersebut yang mungkin hanya bersifat sementara.


Apakah ada gejala-gejala tertentu berikutan kenaikan paras kreatinin?



Seperti yang diterangkan di atas, kenaikan paras kreatinin adalah berhubung kait dengan kegagalan fungsi buah pinggang. Oleh itu, gejala-gejala yang akan dialami oleh sesetengah orang adalah gejala-gejala yang berkaitan dengan kegagalan buah pinggang seperti:

  • Sentiasa merasa dahaga
  • Kepenatan
  • Bengkak
  • Nafas pendek, dan
  • Gejala-gejala lain yang tidak spedifik seperti muntah, rasa keliru, pening dan kulit kering.



Love Your Kidneys!
Gejala-gejala ini berbeza daripada satu individu ke individu yang lain. Ia juga berbeza apabila punca kerosakan buah pinggang itu berbeza. Jadi amat penting untuk menjalani ujian darah secara rutin (contohnya tiap-tiap 3 bulan) bagi mengenalpasti punca-punca yang boleh mengganggu fungsi buah pinggang supaya rawatan awal boleh dilakukan. 

Sayangilah buah pinggang anda!


Apakah ada cara untuk menurunkan paras kreatinin?


Sebagaimana yang diterangkan, turun naik paras kreatinin adalah berpunca dari masalah buah pinggang. Oleh itu, sebarang rawatan atau supplemen yang tujuannya hendak menurunkan paras kreatinin mesti berhubung kait dengan buah pinggang. Gam arab (manna), atau gum arabic, terbukti berkesan dalam hal ini. Telah banyak ujian-ujian dilakukan yang menguji setakat mana keberkesanan Gam arab dalam membaik-pulih fungsi buah pinggang.


Untuk keterangan lanjut, sila rujuk pada artikel ini, Gam Arab Menurunkan Kreatinin.