Pages

Wednesday 20 January 2016

Memahami Stroke


Pengenalan



Tidak ada yang lebih penting pada tubuh badan kita selain daripada otak. Ia umpama CPU kepada sesebuah komputer. Apabila CPU ada masalah, maka komputer tidak boleh berfungsi dengan sempurna atau rosak sama sekali. Begitu juga dengan badan kita - apabila ada masalah pada otak, fungsi badan akan terganggu.

Fungsi otak akan terganggu atau lumpuh sama sekali oleh serangan stroke. Stroke sangat berbahaya kerana ia boleh menjadikan seseorang itu lumpuh seumur hidup. Penyakit-penyakit lain hanya melibatkan sebahagian daripada anggota badan tanpa melibatkan bahagian otak tetapi stroke boleh melumpuhkan seluruh anggota badan termasuk otak itu sendiri.


Apakah itu Stroke?



Stroke adalah serangan pada otak yang terjadi apabila pengaliran darah ke otak terhenti. Sel-sel otak yang terbabit akan mati disebabkan oleh kekurangan oksigen. Pengaliran darah ke otak boleh terhenti disebabkan oleh samada saluran darah tersumbat atau pecah.

Terdapat dua kategori stroke: Stroke ringan atau iskemik (ischemic) dan Stroke parah atau hemorragik (hemorrhagic). Stroke iskemik disebabkan oleh saluran darah ke otak tersumbat manakala stroke hemorragik disebabkan oleh pendarahan dalam otak berikutan saluran darah yang pecah atau putus.
Jenis-jenis Strok

Stroke iskemik adalah yang paling biasa terjadi, merangkumi 80% daripada jumlah kejadian stroke. Ada tiga keadaan yang menyebabkan stroke iskemik: pembekuan darah dalam saluran darah samada dalam otak atau di leher yang dikenali sebagai thrombosis; pemindahan darah yang beku di bahagian lain anggota badan (seperti di jantung) ke otak, dikenali sebagai embolisma; atau pengecilan pada saluran darah dalam otak atau yang menuju ke otak, dipanggil stenosis.

Ada dua langkah untuk mengurangkan risiko penyakit stroke: mengawal faktor-faktor penyebab stroke dan mengetahui tanda-tanda serangan stroke.


Apakah Tanda-Tanda (Simptom) Stroke?



Mengetahui tanda-tanda stroke boleh menyelamatkan nyawa orang di sekeliling anda yang terkena serangan stroke. Terdapat beberapa tanda atau tindakbalas badan apabila otak tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi. Berikut adalah antara tanda-tanda serangan stroke yang paling biasa terjadi:

  • kebas tiba-tiba pada muka, tangan atau kaki, terutama pada sebelah bahagian badan sahaja;
  • berada dalam keadaan keliru secara tiba-tiba, atau ada masalah dalam percakapan atau memahami percakapan;
  • pandangan jadi kabur pada sebelah atau kedua-dua mata;
  • merasa letih tiba-tiba, susah untuk berjalan atau hilang keseimbangan; atau
  • pening kuat secara tiba-tiba tanpa sebab yang diketahui

Tanda-tanda lain termasuk mata berpinar, mengantuk, mual dan muntah. Kadang-kadang tanda-tanda ini hanya berlaku dalam masa yang sekejap sahaja dan kemudian hilang. Episod yang pendek ini, dikenali sebagai TIA (Transient Ischemic Attack), juga dipanggil stroke kecil. Walaupun singkat, ia menunjukkan keadaan yang serius yang perlu dipandang berat dan diberi rawatan. Malangnya, ramai yang tidak mengambil endah tentang tanda-tanda yang singkat ini. Mengambil langkah berjaga-jaga selepas terkena serangan stroke kecil ini boleh menyelamatkan nyawa anda.


Apakah Faktor-faktor Risiko untuk Stroke?



Ada beberapa faktor risiko untuk mendapat serangan stroke yang tidak boleh diubah atau diubati. Ini tidak bermakna orang-orang yang mempunyai faktor risiko ini akan mendapat serangan stroke dan sebaliknya. Walau bagaimanapun, risiko anda untuk mendapat serangan stroke adalah lebih tinggi apabila faktor risiko anda bertambah dan meningkat.

  • Umur. Stroke boleh berlaku pada semua peringkat usia, termasuk kanak-kanak dan kaum remaja. Tapi kajian menunjukkan risiko serangan stroke akan meningkat dua kali ganda bagi mereka yang berumur antara 55 hingga 85 tahun. 
  • Jantina. Lelaki mempunyai risiko mendapat serangan stroke lebih tinggi berbanding dengan kaum perempuan, tetapi kaum perempuan yang lebih ramai mati akibat serangan stroke. Lelaki biasanya tidak hidup lama seperti kaum perempuan, jadi kaum lelaki mendapat serangan stroke pada usia yang lebih muda dan mempunyai peluang untuk selamat lebih tinggi.
  • Bangsa. Sesetengah kumpulan etnik mempunyai risiko mendapat serangan stroke lebih tinggi daripada kumpulan etnik yang lain. Di Amerika, contohnya, bangsa kulit hitam Afrika adalah kumpulan yang paling ramai terkena serangan stroke yang akhirnya membawa kepada kematian berbanding dengan bangsa-bangsa lain. Jenis-jenis serangan stroke juga berbeza daripada satu bangsa ke bangsa yang lain.
  • Sejarah stroke dalam keluarga. Ada beberapa faktor yang menerangkan kenapa serangan stroke boleh berulang dalam keluarga. Pertamanya, wujudnya penyakit tekanan darah tinggi dan kencing manis secara genetik dalam keluarga tersebut sejak turun-temurun yang boleh membawa kepada serangan stroke. Keduanya, mungkin disebakan oleh gaya hidup dalam sesebuah keluarga seperti penyediaan makanan berminyak dan tinggi kolesterol yang diwarisi sejak dari dulu lagi.


Apakah Faktor-faktor Risiko Stroke yang Boleh Dirawat?


Berikut adalah faktor-faktor risiko stroke yang boleh dikawal atau dirawat:

Tekanan Darah Tinggi, atau Hipertensi

Tekanan darah tinggi, atau hipertensi, merupakan penyebab utama stroke, terutama kepada mereka yang berumur di bawah 80 tahun. Sekiranya anda mempunyai tekanan darah tinggi, anda dan doktor anda harus mengatur strategi untuk menurunkan tekanan darah anda ke paras normal. Beberapa langkah yang anda boleh ambil seperti menjaga berat badan di paras yang normal; mengelak ubat-ubatan atau herba yang boleh menaikkan tekanan darah; mengurangkan pengambilan garam dan membanyakkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran; dan lebihkan senaman. Doktor anda juga mungkin menyarankan beberapa ubat yang boleh menurunkan tekanan darah. Di samping mengelak berlakunya stroke, mengawal tekanan darah ke paras yang normal juga akan mengelak penyakit-penyakit lain seperti sakit jantung, diabetes dan sakit buah pinggang.

Merokok


Atherosclerosis - arteri tersumbat
Merokok boleh meningkatkan risiko stroke iskemik dua kali ganda dan stroke hemorragik sehingga empat kali ganda. Merokok boleh menyebabkan mendapan lemak (simptom yang dipanggil atherosclerosis) dalam arteri karotid, iaitu arteri utama yang menyalurkan darah ke otak. Bila arteri ini tersumbat, maka terjadilah strok iskemik. Juga, nikotin dalam rokok akan menaikkan tekanan darah; karbon monoksida akan mengurangkan kandungan oksigen dalam darah; dan asap rokok itu sendiri akan menyebabkan darah menjadi semakin pekat dan membentuk tompokan. Doktor anda mungkin boleh menyarankan beberapa program atau ubat-ubatan untuk anda berhenti merokok. Dengan berhenti merokok, anda bukan saja dapat mengurangkan risiko serangan stroke, anda juga boleh terhindar dari kanser paru-paru, sakit jantung dan beberapa jenis kanser yang lain.

Sakit Jantung


Sakit jantung seperti arteri koronari, injap jantung rosak, denyutan jantung yang tak menentu (atrial fibrillation), dan jantung yang membengkak boleh menyebabkan berlakunya tompokan-tompokan kecil darah beku yang akhirnya terlepas keluar mengikut saluran darah ke otak. Mereka yang berumur lanjut terdedah kepada fenomena ini. Mengikut kajian, satu perempat kejadian stroke selepas umur 80 tahun adalah disebabkan oleh fenomena di atas. Hipertensi dikatakan adalah penyebab utama jantung membengkak atau injap jantung rosak. Biasanya kepada pesakit-pesakit seperti ini, doktor akan mencadangkan aspirin untuk mengurangkan risiko kejadian tompokan-tompokan darah beku tadi. Sekiranya tompokan telah berlaku dan berada dalam arteri yang menuju ke otak, doktor akan melakukan pembedahan untuk membuang tompokan-tompokan tersebut sebelum ia menyumbat pengaliran darah ke otak.

Tanda-tanda Awal Stroke atau TIA (Transient Ischemic Attack)


Jika anda pernah mengalami TIA, walaupun dalam masa beberapa minit sahaja, risiko anda untuk mendapat serangan stroke adalah lebih tinggi daripada mereka yang belum pernah mengalaminya. Dan sekiranya anda pernah mendapat serangan stroke sebelum ini dan pulih, anda harus melipatgandakan usaha-usaha pencegahan sebagaimana yang disarankan di atas seperti menjaga tekanan darah anda dengan lebih rapi supaya sentiasa berada pada paras normal. Ini adalah kerana, mengikut kajian, jika sebahagian daripada otak anda telah diserang stroke, maka sebahagian otak lagi akan bekerja dua kali ganda lebih kuat. Jadi serangan stroke untuk kali kedua akan dua kali ganda lebih teruk daripada serangan pertama.

Diabetes (Kencing Manis)


Kencing manis, atau diabetes, adalah penyumbang kepada serangan stroke dan penyakit jantung. Sesetengah orang berpendapat bahawa diabetes hanya sekadar masalah badan tidak boleh menerima gula atau glukos dalam kadar yang biasa. Sebenarnya diabetes boleh menyebabkan kerosakan pada saluran darah di seluruh badan termasuk dalam otak. Dan sekiranya paras gula dalam darah tinggi semasa serangan stroke, kerosakan pada otak akan lebih teruk dan meluas. Pesakit diabetes juga biasanya akan mengalami tekanan darah tinggi yang boleh menaikkan risiko serangan stroke. Jadi merawat diabetes akan melambatkan dan mengurangkan risiko terkena serangan stroke.

Ketidak-seimbangan Kolesterol


Kolesterol LDL (Low-density lipoprotein) adalah kolesterol yang tidak baik yang menaikkan paras kolesterol (bahan berlemak) dalam darah dan boleh sampai kepada otak. Kenaikan paras kolesterol boleh menyebabkan berlakunya atherosclerosis iaitu penyumbatan pada arteri yang membawa darah ke otak. Fenomena atherosclerosis ini adalah penyebab utama serangan stroke dan serangan sakit jantung.

Kurang Senaman dan Masalah Kegemukan


Masalah kegemukan dan kurangnya senaman selalunya dikaitkan dengan hipertensi, diabetes dan penyakit jantung. Kegemukan (obesiti) dikatakan boleh meningkatkan risiko serangan stroke sehingga tiga kali ganda.


Ketahui Risiko Stroke Anda



Sebahagian besar risiko-risiko serangan stroke boleh diketahu melalui ujian fizikal di hospital-hospital pakar. Di negara-negara maju seperti di Amerika, mereka mempunyai program tertentu bagi 'mengukur' tahap risiko stroke dan seterusnya merangka strategi atau pelan bagi mengurangkan risiko-risiko tersebut.


Kebanyakan risiko-risiko stroke boleh dikawal walaupun tidak 100%. Dengan bermula lebih awal dan mengawal atau merawat faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada serangan stroke, anda akan mengurangkan risiko anda daripada kematian atau lumpuh seumur hidup akibat serangan stroke. Di Amerika contohnya, apabila semakin ramai yang sedar tentang risiko-risiko yang membawa kepada serangan stroke, ramai yang telah mengubah cara hidup dan hasilnya insiden kematian akibat serangan stroke telah berkurangan sehingga hampir separuh.

Selamatkan diri anda dan keluarga anda daripada serangan stroke!


6 comments:

  1. Wah.. cukup bagus panduan ini. terima kasih. apa pandangan tuan bila saya juga guna krim sapu firmax?

    ReplyDelete
  2. Maaf, saya tak pernah dengar tentang krim sapu ni. Sudah tentu tiada kaitan dengan strok. Melalui pencarian saya di Google, saya dapati ia dipasarkan melalui sistem MLM. Saya agak menentang sistem MLM ni. Ia akan mengkayakan sebahagian kecil ahli dan memiskinkan majoriti ahli yg lain. Barang2 pula dijual terlalu mahal kerana sebahagian besar keuntungan perlu diagih-agihkan kepada ahli2. Barang2 juga akan menjadi lambakan kerana ahli2 hendak mengejar komisyen.

    ReplyDelete
  3. Yang paling penting kena jaga kesihatan dan amalkan gaya hidup yang sihat =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu. Itu lah yang sebaik-baiknya. Salah satu caranya ialah dengan mengurangkan makanan-makanan yang kurang berkhasiat seperti processed foods kepada yang lebih berkhasiat dari sumber-sumber yang alami.

      Delete
  4. Bagusnya artikel ni, panjang dan padat, cukup copywriting nya... adakah tuan ada buat kelas untuk belajar tentang kesihatan? Jika ada, boleh ke jika saya dan team nak join?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah. Segala Puji Bagi Allah. Semoga ianya bermanfaat. Saya tidak ada membuat kelas. Saya hanya menyampaikan ilmu yang ada melalui penulisan.

      Delete