Pages

Tuesday, 15 December 2015

Baobab

Buah Baobab

BUAH 'PURBA' DARIPADA AFRIKA YANG SANGAT BERKHASIAT

Satu-satunya buah di Afrika yang padat dengan Vitamin C.

Buah baobab sudah lama masuk ke pasaran di negara-negara Eropah dan Asia, dan sekarang sudah mula masuk ke pasaran di Amerika Syarikat sebagai satu ramuan baru yang penting kerana khasiatnya yang unik. Buah baobab mempunyai rasa masam macam buah limau sitrus dan mengandungi lebih banyak vitamin dan mineral berbanding dengan oren, pisang dan malah anggur hitam. Buah baobab juga telah disahkan boleh bertindak sebagai prebiotik kerana kandungan serat larutnya yang tinggi.

Pokok Baobab
Buah baobab (atau nama saintifiknya Adansonia Digitata L.) banyak terdapat di benua Afrika. Sesetengah pokok baobab dipercayai boleh mencapai usia sehingga 1000 tahun dan diberi nama julukan “Pokok Kehidupan Purba” oleh penduduk-penduduk tempatan. 

Dalam amalan tradisional orang-orang Afrika, buah baobab dijadikan minuman yang disediakan khas untuk wanita-wanita yang mengandung, kanak-kanan dan orang-orang tua.

Buah baobab telah diiktiraf selamat untuk dimakan dan mendapat pensijilan GRAS pada tahun 2009 (No. Notis GRAS GRN000273).

Serbuk Baobab
Buah baobab dijual dalam bentuk serbuk (berwarna putih kekuningan) yang telah diasingkan daripada bijinya.

KHASIAT BAOBAB


Fakta Nutrisi Baobab
Buah baobab kaya dengan antioksidan, mengatasi buah delima dan buah-buah beri. Antioksidan baik untuk membaikpulih sel-sel yang mati. Kandungan antioksidan dalam buah baobab adalah dari jenis Vitamin C dan Bioflavonoid.

Serat makanan yang terkandung dalam buah baobab memiliki pengaruh prebiotik, iaitu ia merangsang pembiakan bakteria baik dalam usus. Mengekalkan bakteria yang baik dalam usus sangat penting untuk menangkis serangan bakteria jahat.

Minuman baobab telah lama digunakan oleh penduduk-penduduk tempatan Afrika untuk merawat cirit-birit, radang perut, demam dan sembelit.


PENGGUNAAN BAOBAB


Mengikut sesetengah pengeluar Baobab, 100ml minuman baobab memerlukan 1 sudu teh (5g) serbuk baobab. Dengan menambahkan 50g serbuk baobab kepada 1 gelen jus akan menyediakan 25g serat (19g daripadanya adalah serat larut), 990mg potasium (32% daripada jumlah keperluan harian) dan 73mg magnesium (23% keperluan harian). 

Smoothie Baobab
Serbuk baobab juga boleh dicampurkan kepada smoothie, yogurt, ais krim dan cereal.

Buah baobab adalah tahan lama jika dibiarkan begitu sahaja. Kulitnya akan mengering dan mengeras, oleh itu isinya tidak akan terjejas. Jangka hayat buah baobab (yang telah diperoses menjadi serbuk) adalah 24 bulan. 


Sunday, 13 December 2015

Mengawal Gout

Gout - bisa pada sendi

Apa itu Gout?


Gout adalah sejenis penyakit arthritis (radang sendi) yang biasanya dihidapi oleh lelaki dewasa berumur 40 tahun ke atas. Ia biasanya dikaitkan dengan kandungan asid urik yang tinggi dalam darah. Asid urik yang berlebihan dalam darah ini akan menyebabkan pembentukan kristal dalam tisu-tisu tubuh, terutamanya di bahagian-bahagian sendi. Serangan gout ini boleh dikenalpasti dengan kesakitan yang tiba-tiba pada sendi. Biasanya gout akan menyerang satu sendi pada satu masa and lebih kerap menyerang bahagian di bahagian kaki, terutamanya di bahagian jari kaki.

Apa yang menyebabkan gout?


Gout berpunca dari asid urik
Punca utama gout adalah hyperuricemia. Hyperuricemia merujuk kepada peningkatan paras asid urik dalam darah yang boleh jadi disebabkan genetik (keturunan) atau berpunca dari pemakanan, atau ia boleh disebabkan oleh salah satu daripada yang faktor berikut:

a) peningkatan asid urik berikutan penyakit leukimia, anemia, psoriasis atau senaman yang berlebihan; atau,

b) pengurangan pengeluaran asid urik dari badan berikutan kegagalan buah pinggang yang kronik, kerosakan buah pinggang atau penyakit kencing manis ketoasidosis (diabetic ketoacidosis).

Apakah jenis-jenis makanan yang boleh menyebabkan gout?


Kerang-kerangan penyebab gout
Makanan dan minuman boleh menyebabkan peningkatan kandungan asid urik dalam darah dan seterusnya menyebabkan serangan gout. Ini termasuk: pengambilan minuman kopi yang berlebihan, minuman-minuman bergas, ikan bilis, ikan sardin dalam tin, asparagus, kekacang, cendawan, organ dalaman binatang seperti paru-paru, hati dan limpa, dan kerang-kerangan seperti lokan, kepah dan lala.

Penyebab-penyebab lain gout:

Antibiotik penyebab gout
Penyebab-penyebab lain termasuk pembedahan, kecederaan, penurunan berat badan yang mendadak, stres, pengambilan antibiotik, kekurangan vitamin B5 dan kimoterapi. Kehilangan potasium – misalnya disebabkan oleh pembedahan, puasa dan pengambilan ubat diuretik – juga boleh menyumbang kepada kejadian gout.

Bagaimana mencegah gout melalui pemakanan? 


Gout boleh dielakkan dengan cara pemakanan. Pertama kali, elak daripada mengambil makanan yang mengandungi purin yang tinggi. Purin adalah sebatian nitrogen yang apabila dipecahkan dalam badan akan menjadi asid urik yang menambahkan kepekatan asid urik dalam darah dan akhirnya menyebabkan gout. 

Daging merah penyebab gout
Kandungan purin sangat tinggi dalam daging merah, oleh itu hendaklah cuba hadkan pengambilan potongan daging lembu pada bahagian anggota (yang biasanya digunakan untuk BBQ) dan daging lembu dalam tin. Ayam dan itik pula adalah rendah kandungan purinnya tetapi tinggi kandungan proteinnya, oleh itu ia baik untuk pesakit gout. Makanan-makanan yang diperbuat daripada kerang-kerangan, tofu (tahu) dan kekacang juga tinggi kandungan purinnya dan hendaklah dihadkan. 

Daging juga mengandungi asid lemak (asid arachidonik) yang boleh menyebabkan keradangan. Jadi sesiapa yang telah disahkan mempunyai asid urik yang tinggi perlulah menghadkan pengambilan daging untuk menghalang serangan gout.

Banyakkan Ceri
Buah ceri boleh mengurangkan asid urik. Ceri mengandungi flavonoid yang boleh bertindak menghalang keradangan. Flavonoid yang dipanggil antosianin (anthocyanins) yang banyak terdapat dalam buah-buah beri seperti beri biru dan bilberry boleh membantu menghalang enzim-enzim yang menyebabkan keradangan tisu. Jadi antosianin ini boleh menghalang pelbagai jenis sakit keradangan. Satu kajian yang dilakukan di Universiti California oleh Jacob et. al bertajuk “Consumption of Cherries Lowers Plasma Urate in Healthy Women” telah membuktikan kenyataan di atas.

Banyakkan Beri
Asid pantothenik, sejenis vitamin B5, boleh membantu mengeluarkan asid urik dari badan melalui najis. Stres biasanya mengurangkan kandungan vitamin dalam badan, sebab itulah gout boleh menyerang apabila sesorang itu dalam stres. Oleh itu, pengambilan asid pantothenik atau vitamin B5 boleh membantu mengurangkan risiko serangan gout.

Lemon meneutralkan asid
Jus lemon juga amat baik untuk menghalang gout, bagus diambil selepas makan. Lemon merangsang pembentukan kalsium karbonat yang boleh meneutralkan asid seperti asid urik. Pengurangan asid dalam badan akan menghalang asid urik daripada membentuk kristal.

Banyakkan minum air
Perkara yang penting sekali untuk mengelak serangan gout ialah dengan meminum air yang banyak, sekurang-kurangnya 2-3 liter sehari. Ianya dapat menghalang asid urik daripada menjadi terlalu pekat dan membentuk kristal. Pengambilan air yang banyak juga akan memudahkan proses pembuangan najis untuk mengeluarkan sisa-sisa toksin dari badan termasuk asid urik.



Saturday, 12 December 2015

Bahayanya Radikal Bebas

Radikal Bebas Musuh Senyap
Ramai orang yang tidak tahu tentang wujudnya radikal bebas dalam tubuh manusia dan pengaruh negatif radikal bebas terhadap organ tubuh badan. Radikal bebas tidak ubah macam kuman – ia masuk ke dalam badan manusia tanpa disedari oleh sesiapapun kecuali setelah mendapat sakit. Begitu juga radikal bebas, kesannya hanya diketahui apabila timbulnya penyakit.

Radikal bebas boleh diperolehi secara langsung melalui pencemaran, radiasi ultra violet, stres, rokok atau asap rokok dan pemakanan yang tidak sihat dan berlemak. Manakala tubuh manusia sendiri boleh mengeluarkan radikal bebas sebagai hasil sampingan daripada proses metabolisma atau ketika badan terkena jangkitan kuman. 
Pencemaran punca radikal bebas


Dalam istilah sains, radikal bebas adalah molekul yang kehilangan elektron, sehingga molekul tersebut menjadi tidak stabil dan selalu berusaha mengambil elektron dari molekul-molekul atau sel-sel lain. Radikal bebas yang berlebihan dapat menyebabkan kerosakan sel-sel dan akhirnya boleh menyebabkan kematian sel-sel tersebut. Bila terlalu banyak sel-sel yang mati, maka timbulllah pelbagai penyakit.


Radikal bebas yang berlebihan boleh menyebabkan perubahan struktur DNA dalam tubuh manusia sehingga timbullah sel-sel mutan. Bila perubahan DNA ini berlarutan bertahun-tahun lamanya, ia boleh menyebabkan penyakit kanser. Penyakit ini hanya disedari setelah keadaannya sangat kronik atau parah.


Begitulah bahayanya radikal bebas. Ia boleh diistilahkan sebagai pembunuh senyap jika kita tidak mengambil langkah-langkah tertentu untuk menghalangnya.



Bagaimana menghalang pengaruh radikal bebas?

Peneutralan radikal bebas

Pengaruh radikal bebas boleh dikurangkan dengan melengkapi kekurangan elektron yang dialami oleh radikal bebas. Tugas ini dilakukan oleh antioksidan. Badan kita boleh menghasilkan sendiri antioksidan ini tetapi jumlahnya sering tidak mencukupi untuk meneutralkan radikal bebas yang masuk ke dalam badan kita, terutamanya bagi mereka yang terdedah kepada pencemaran yang berterusan.



Apakah itu Antioksidan?


Antioksidan adalah kelompok vitamin, mineral, enzim dan rempah-rempah. Ia membantu melindungi tubuh dari radikal bebas. Sewaktu proses metabolisma, oksigen digunakan untuk menyediakan bahan bakar sel. Dalam proses ini, beberapa dari molekul oksigen kehilangan salah satu elektron. Antioksidan bertindak mencegah serta memperlambatkan proses oksidasi dan seterusnya memperbaiki sel tubuh yang mengalami kerosakan disebabkan oleh radikal bebas.


Seorang penyelidik kanan di Bahagian Tumbuhan Ubatan di Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM), Dr. Mohamed Ilham Adenan, berkata pengambilan harian makanan yang mengandungi antioksidan boleh mengurangkan risiko mendapat penyakit kronik dan melambatkan proses tua.


Antioksidan adalah bahan yang boleh meneutralkan dan melawan bahan toksik dalam badan yang dinamakan radikal bebas. Radikal bebas adalah ejen pengoksidan kuat yang boleh menyebabkan kerosakan oksidan kepada protein, enzim, DNA, RNA, asid tidak tepu dan sel membran yang akhirnya menyebabkan pelbagai penyakit yang berkaitan dengan umur seperti kanser, diabetis, penyakit jantung, sakit sendi, kerosakan fungsi otak dan proses penuaan yang cepat seperti kulit berkedut, uban, lupa dan letih yang kronik.


Bagi memerangi radikal bebas, sistem badan menghasilkan enzim antioksidan asli dan menyerap vitamin A, C dan E untuk membersihkan lebihan radikal bebas. Antioksidan asli boleh memusnahkan radikal bebas dalam badan dan menseimbangkan OSS dalam badan.


Walau bagaimanapun, apabila usia semakin meningkat, aktiviti enzim antioksidan berkurangan dan fungsi penyerapan usus berkurangan. (Sumber/kredit: ww1.utusan.com.my).


Maka dengan itu, pengambilan makanan yang banyak mengandungi antioksidan adalah penting, terutama bagi mereka yang sudah meningkat usia.

Buah Beri kaya dengan antioksidan

Terdapat banyak makanan-makanan yang mengandungi antioksidan. Buah merupakan salah satu dari sumber antioksidan yang paling banyak. Hampir semua buah memiliki kandungan antioksidan yang baik untuk memerangi radikal bebas.


Contoh buah-buahan yang mengandungi antioksidan yang tinggi: baobab, strawberi, plum, kiwi, anggur, delima, beri biru (blueberry) dan manggis.


Contoh sayur-sayuran dan makanan-makanan yang tinggi kandungan antioksidannya: brokoli, asparagus, bayam, daun bawang, bawang putih, bawang merah, cili, gandum, jagung, labu, daging merah, kunyit, kulit kayu manis, kekakcang, dan banyak lagi.


Kesimpulannya, pengambilan makanan-makanan yang mengandungi antioksidan yang tinggi amat perlu bagi menghindar pelbagai penyakit seperti yang tersebut di atas, terutamanya kanser.




Friday, 11 December 2015

Fungsi Gam Arab

Gam Arab
Gam Arab adalah sumber terkaya prebiotik. Wikipedia menyenaraikan Gam Arab sebagai makanan yang paling tinggi kandungan prebiotiknya. Gam Arab telah lama digunakan dalam industri makanan dan minuman sebagai 'stabilizer' atau 'emulsifier' yang dilabelkan sebagai E414. Gam Arab juga merupakan bahan ramuan yang penting dalam minuman-minuman soda untuk menstabilkan buih dalam minuman-minuman tersebut.

Kebanyakan Gam Arab terdapat di negara Sudan yang juga merupakan pengeluar terbesar Gam Arab dunia. Gam Arab telah lama digunakan sebagai ubat-ubatan tradisional di Sudan yang banyak memberi manfaat kesihatan. 

Pokok Akasia
Gam Arab diperolehi daripada dua spesis pokok Akasia (Akasia senegal dan Akasia seyal) dan kemudian diproses menjadi serbuk. Gred yang terbaik (Gred 1) adalah dari jenis Akasia senegal, juga dikenali sebagai Hashab di Sudan.

Di Malaysia, sudah ramai para doktor mengakui akan kebaikan Gam Arab. Ada di antara mereka yang menganjurkan Gam Arab kepada pesakit-pesakit mereka, terutama yang menghidap kencing manis dan sakit buah pinggang. 

Terdapat banyak kebaikan-kebaikan yang telah diketahui mengenai prebiotik yang terdapat dalam Gam Arab ini. Oleh kerana ia sejenis prebiotik yang terbaik, semua kebaikan-kebaikan probiotik boleh diperolehi dengan mengambil gam arab.

Apakah itu Probiotik?


Probiotik adalah bakteria baik yang bertanggungjawab memelihara dan meningkatkan kesihatan usus kita (terutamanya bahagian kolon). 

Probiotik melapisi dinding usus kita lantas menghalang bakteria-bakteria jahat (patogen) daripada menembusi usus ini untuk meresap masuk ke dalam badan kita. 

Sesetengah probiotik juga boleh menghasilkan vitamin B yang penting untuk pemeliharaan kesihatan sistem saraf dan pengawalan stres, dan juga membantu meningkatkan penyerapan mineral-mineral penting seperti kalsium dan magnesium. 

Antara kebaikan-kebaikan probiotik yang sudah dikenalpasti adalah seperti menyihatkan usus besar; meningkatkan penghadaman lemak; menghalang asma, jangkitan dan alahan pada kanak-kanak; membantu menurunkan berat badan; memperbaiki kesihatan kulit; dan mencegah berulangnya jangkitan yis.

Kajian yang telah dijalankan oleh University of Florida (yang  disiarkan dalam Future Medicine dalam bulan Mei 2011) menunjukkan bahawa probiotik boleh mencegah atau melambatkan kencing manis tahap 1, dan membantu mengawal kecing manis tahap 2.

Satu kajian lain yang disiarkan dalam Acta Diabetologica dalam bulan Disember 2011 menyatakan bahawa apabila jumlah bakteria tak baik melebihi probiotik dalam usus, ini akan mengganggu  kesempurnaan proses penghadaman, yang akhirnya akan menyebabkan pelbagai penyakit seperti kencing manis.

Sekarang ini, sudah ramai para-para doktor kanak-kanak menganjurkan supaya kanak-kanak yang sedang membesar diberikan susu yang diperkayakan dengan probiotik. Jadi tidak mustahil satu masa nanti probiotik akan diluluskan sebagai suplemen harian yang penting seperti vitamin.


Apa Kaitan Prebiotik dengan Probiotik?


Prebiotik, sebagaimana yang terkandung dalam Gam Arab, adalah makanan kepada probiotik. Dengan ertikata lain, probiotik memerlukan prebiotik untuk terus hidup dan membiak. Terdapat lebih kurang 100 ribu juta bakteria dalam sistem pencernaan manusia yang terdiri daripada bakteria baik (probiotik) dan bakteria jahat (patogen). Nisbah bakteria baik kepada yang tidak baik adalah bergantung kepada jenis makanan dan ubat-ubatan yang kita ambil. Jadi amat penting untuk kita mengambil prebiotik berterusan untuk memastikan probiotik terus aktif dan bertambah bilangannya.

Probiotik hidup boleh diperolehi daripada sesetengah makanan mentah seperti yogurt dan makanan-makanan peram yang lain.

Harus diingat bahawa probiotik boleh 'terbunuh' melalui proses masakan. Manakala ubat-ubat antibiotik pula boleh membunuh semua bakteria baik dan tak baik. Jadi anda dinasihatkan untuk mengambil prebiotik secukupnya tiap-tiap kali selepas pengambilan antibiotik.

Jagalah kesihatan sistem pencernaan anda kerana di situlah berpuncanya penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, sakit buah pinggang, kanser kolon dan sembelit. Pastikan anda mengambil probiotik DAN prebiotik yang secukupnya setiap hari.