Pages

Sunday 13 December 2015

Mengawal Gout

Gout - bisa pada sendi

Apa itu Gout?


Gout adalah sejenis penyakit arthritis (radang sendi) yang biasanya dihidapi oleh lelaki dewasa berumur 40 tahun ke atas. Ia biasanya dikaitkan dengan kandungan asid urik yang tinggi dalam darah. Asid urik yang berlebihan dalam darah ini akan menyebabkan pembentukan kristal dalam tisu-tisu tubuh, terutamanya di bahagian-bahagian sendi. Serangan gout ini boleh dikenalpasti dengan kesakitan yang tiba-tiba pada sendi. Biasanya gout akan menyerang satu sendi pada satu masa and lebih kerap menyerang bahagian di bahagian kaki, terutamanya di bahagian jari kaki.

Apa yang menyebabkan gout?


Gout berpunca dari asid urik
Punca utama gout adalah hyperuricemia. Hyperuricemia merujuk kepada peningkatan paras asid urik dalam darah yang boleh jadi disebabkan genetik (keturunan) atau berpunca dari pemakanan, atau ia boleh disebabkan oleh salah satu daripada yang faktor berikut:

a) peningkatan asid urik berikutan penyakit leukimia, anemia, psoriasis atau senaman yang berlebihan; atau,

b) pengurangan pengeluaran asid urik dari badan berikutan kegagalan buah pinggang yang kronik, kerosakan buah pinggang atau penyakit kencing manis ketoasidosis (diabetic ketoacidosis).

Apakah jenis-jenis makanan yang boleh menyebabkan gout?


Kerang-kerangan penyebab gout
Makanan dan minuman boleh menyebabkan peningkatan kandungan asid urik dalam darah dan seterusnya menyebabkan serangan gout. Ini termasuk: pengambilan minuman kopi yang berlebihan, minuman-minuman bergas, ikan bilis, ikan sardin dalam tin, asparagus, kekacang, cendawan, organ dalaman binatang seperti paru-paru, hati dan limpa, dan kerang-kerangan seperti lokan, kepah dan lala.

Penyebab-penyebab lain gout:

Antibiotik penyebab gout
Penyebab-penyebab lain termasuk pembedahan, kecederaan, penurunan berat badan yang mendadak, stres, pengambilan antibiotik, kekurangan vitamin B5 dan kimoterapi. Kehilangan potasium – misalnya disebabkan oleh pembedahan, puasa dan pengambilan ubat diuretik – juga boleh menyumbang kepada kejadian gout.

Bagaimana mencegah gout melalui pemakanan? 


Gout boleh dielakkan dengan cara pemakanan. Pertama kali, elak daripada mengambil makanan yang mengandungi purin yang tinggi. Purin adalah sebatian nitrogen yang apabila dipecahkan dalam badan akan menjadi asid urik yang menambahkan kepekatan asid urik dalam darah dan akhirnya menyebabkan gout. 

Daging merah penyebab gout
Kandungan purin sangat tinggi dalam daging merah, oleh itu hendaklah cuba hadkan pengambilan potongan daging lembu pada bahagian anggota (yang biasanya digunakan untuk BBQ) dan daging lembu dalam tin. Ayam dan itik pula adalah rendah kandungan purinnya tetapi tinggi kandungan proteinnya, oleh itu ia baik untuk pesakit gout. Makanan-makanan yang diperbuat daripada kerang-kerangan, tofu (tahu) dan kekacang juga tinggi kandungan purinnya dan hendaklah dihadkan. 

Daging juga mengandungi asid lemak (asid arachidonik) yang boleh menyebabkan keradangan. Jadi sesiapa yang telah disahkan mempunyai asid urik yang tinggi perlulah menghadkan pengambilan daging untuk menghalang serangan gout.

Banyakkan Ceri
Buah ceri boleh mengurangkan asid urik. Ceri mengandungi flavonoid yang boleh bertindak menghalang keradangan. Flavonoid yang dipanggil antosianin (anthocyanins) yang banyak terdapat dalam buah-buah beri seperti beri biru dan bilberry boleh membantu menghalang enzim-enzim yang menyebabkan keradangan tisu. Jadi antosianin ini boleh menghalang pelbagai jenis sakit keradangan. Satu kajian yang dilakukan di Universiti California oleh Jacob et. al bertajuk “Consumption of Cherries Lowers Plasma Urate in Healthy Women” telah membuktikan kenyataan di atas.

Banyakkan Beri
Asid pantothenik, sejenis vitamin B5, boleh membantu mengeluarkan asid urik dari badan melalui najis. Stres biasanya mengurangkan kandungan vitamin dalam badan, sebab itulah gout boleh menyerang apabila sesorang itu dalam stres. Oleh itu, pengambilan asid pantothenik atau vitamin B5 boleh membantu mengurangkan risiko serangan gout.

Lemon meneutralkan asid
Jus lemon juga amat baik untuk menghalang gout, bagus diambil selepas makan. Lemon merangsang pembentukan kalsium karbonat yang boleh meneutralkan asid seperti asid urik. Pengurangan asid dalam badan akan menghalang asid urik daripada membentuk kristal.

Banyakkan minum air
Perkara yang penting sekali untuk mengelak serangan gout ialah dengan meminum air yang banyak, sekurang-kurangnya 2-3 liter sehari. Ianya dapat menghalang asid urik daripada menjadi terlalu pekat dan membentuk kristal. Pengambilan air yang banyak juga akan memudahkan proses pembuangan najis untuk mengeluarkan sisa-sisa toksin dari badan termasuk asid urik.



1 comment: